23 Mac 2013
LAHAD DATU - Kerisauan beberapa penduduk Kampung Tanjung Labian dengan
kehadiran sekumpulan 'orang asing' yang mendirikan rumah secara haram di
pinggir hutan berhampiran nyata berasas.
Tindakan mereka melaporkan kehadiran 'orang asing' itu kepada ketua
kampung Mahmud Mallang, 72, pada 27 Februari lepas, bagaimanapun
ditempelak sesetengah penduduk yang kononnya tidak mahu berprasangka
buruk.
"Lihat apa yang telah terjadi sekarang. Ternyata apa yang saya dan
rakan-rakan risaukan sebelum ini ada asasnya. Keamanan kami dirampas
malah ada rakan memberitahu rumah mereka dibakar pengganas militan.
"Kalau dahulu kita semua bersatu hati melaporkan kepada pihak berkuasa,
sudah tentu keadaan tidak akan jadi seperti ini," kata Idris Abdul
Kahal, 49, dalam nada kesal kepada Bernama, di sini.
Mengimbau kembali kejadian serangan militan pada 1 Mac lepas, Idris
yang melarikan diri dalam keadaan sehelai sepinggang, berkata mereka
dipaksa pengganas supaya segera meninggalkan kampung itu.
"Mereka bercakap dalam bahasa Suluk meminta semua orang kampung lari
dengan segera jika tidak mahu diapa-apakan. Saya hanya sempat mengambil
dokumen peribadi dan melarikan diri bersama penduduk kampung lain ke
dalam ladang kelapa sawit.
"Suara pengganas sangat parau menyebabkan kami takut mendengarnya.
Waktu melarikan diri, kami juga tidak tahu ke mana kami hendak lari dan
hanya berserah kepada Allah dan lepas empat jam berjalan, kami tiba di
Lok Buani," katanya.
Idris yang kini ditempatkan di Dewan Fajar Harapan, sebuah pusat
penempatan sementara, berkata ekoran serangan pengganas militan itu,
anak keduanya berumur 8 tahun, sering meracau dalam tidur berkemungkinan
gangguan emosi.
Katanya keadaan anaknya kini semakin pulih setelah melalui proses
pemulihan yang dianjur Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jabatan
Pertahanan Awam (JPAM) dan dua anaknya yang beradad di tingkatan dua dan
lima masih enggan ke sekolah kerana takut.
"Perkara ini sangat menyusahkan dan saya rasa seperti tidak mahu balik
lagi ke Tanjung Labian kerana saya takut jika pengganas akan kembali
semula," katanya yang menganggarkan mengalami kerugian hasil tanaman
sawit, ternakan dan buah-buahan kira-kira RM10,000.
Penduduk Tanjung Labian keseluruhannya 3,500 orang merupakan antara
penduduk yang dipindahkan selepas kampung itu diklasifikasi sebagai zon
merah dalam Operasi Daulat susulan pencerobohan militan dari selatan
Filipina di Kampung Tanduo, sejak 12 Februari lepas.
Halimah Naukan, 48, pula berkata, beliau dimaklumkan rakan bahawa
rumahnya yang berdekatan Tanjung Batu dibakar pengganas militan itu.
"Saya amat marah dan kecewa. Mereka (pengganas) ini semua bersifat
binatang, langsung tidak memikirkan bagaimana kami mahu hidup semula
selepas ini, tiada apa lagi yang tinggal untuk kami.
"Saya dengar haiwan ternakan pun mereka ambil. Mereka langsung tiada
belas kasihan dan sepatutnya mereka ini mati. Inilah hukuman yang patut
mereka terima," katanya sambil menitiskan air mata. - Bernama
No comments:
Post a Comment