KUALA LUMPUR - Veteran Umno hari ini mengecam tindakan bekas pemimpin
Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) Nur Misuari yang memburukkan
nama Malaysia di arena antarabangsa dalam isu Lahad Datu dan tuntutan
pemimpin pengganas Sulu, Jamalul Kiram ke atas Sabah.
Setiausahanya Datuk Mustapha Yaakub berkata perbuatan Nur Misuari itu
tidak menyumbang kepada usaha menyelesaikan isu tersebut yang giat
dijalankan kerajaan Malaysia dengan kerjasama kerajaan Filipina.
"Kenyataan Nur Misuari yang menyifatkan Malaysia sebagai penjajah
(Sabah dan Sarawak) bagaikan menyimbah minyak ke dalam api, beliau
sepatutnya mencontohi dasar Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) yang
mengutamakan perbincangan dalam mengelakkan lebih banyak kehilangan
nyawa berlaku.
"Beliau yang amat tahu sejarah pembentukan Malaysia dan banyak menerima
bantuan nasihat daripada Malaysia semasa mengetuai MNLF, sengaja
mengeluarkan kenyataan untuk memburukkan Malaysia demi kepentingannya
sendiri," katanya kepada Bernama di sini.
Pada Isnin lepas, Nur Misuari dilapor menuduh Malaysia campur tangan
dalam hal ehwal Islam Moro di selatan Filipina serta mendakwa negara ini
menjajah Sabah dan Sarawak.
Kenyataan itu disanggah Ketua Sekretariat MILF Mohammad Ameen tiga hari kemudian.
Mustapha berpendapat kenyataan itu juga membuktikan dakwaan bahawa Nur
Misuari adalah antara mereka yang bertanggungjawab mengapi-apikan
pengganas Sulu sehingga berlaku pencerobohan di Sabah.
"Saya juga berpendapat Nur Misuari sebenarnya cemburu dengan kejayaan
yang dicapai MILF dalam perjanjian damai dengan kerajaan Filipina dengan
bantuan Malaysia, maka beliau mencari jalan bagi 'menampakkan' namanya
dalam kalangan masyarakat Moro di selatan Filipina," katanya.
Beliau turut menggesa siasatan terhadap dalang tragedi Lahad Datu itu dapat dilakukan dengan teliti dan pada kadar segera.
"Veteran mendesak kerajaan supaya jangan sekali-kali berkompromi dengan
pengkhianat negara, walaupun pengkhianat itu warganegara Malaysia
ataupun bertaraf pemimpin," katanya.
Mustapha juga memohon seluruh rakyat negara ini supaya berdiri teguh di
belakang kerajaan untuk mempertahankan kedaulatan Malaysia daripada
pencerobohan pengganas Sulu hingga ke titisan darah terakhir. - Bernama
No comments:
Post a Comment