
Setiap
insan pasti ada kisah silamnya. Sama ada pahit atau manis, ia adalah
sejarah yang tak mungkin hilang daripada ingatan dengan mudah. Bagi
pasangan yang telah mendirikan rumah tangga, tidak mustahil suami
mahupun isteri pernah terlibat dengan masa silam yang menyakitkan.
Mungkin
menjalin hubungan terlarang, berada di bawah pengaruh dadah, kaki
botol, penjenayah dan macam-macam lagi malah lebih teruk terpaksa
melalui hukuman penjara di atas kesalahan yang telah dilakukan.
Sudah
tentu ia sukar untuk dilupakan malah tidak mustahil boleh memberi kesan
yang negatif dan mengecewakan terutamanya dari sudut psikologi.
Rentetan itu, anda mudah berkira sendiri. Membuat andaian bahawa cinta
dan sayang pasangan sudah hilang sedangkan yang berlaku sebaliknya.
Mudah sensitif tidak bertempat malah keyakinan diri juga semakin
berkurangan.
Cara Untuk Melupakan
Sedarkah
anda, sekiranya masalah ini berlarutan tidak mustahil rumah tangga anda
mudah berantakan. Lebih-lebih lagi jika anda seorang suami yang menjadi
tunjang utama sesebuah keluarga. Berikut adalah beberapa tip yang boleh
dipraktikkan bagi menghentikan kebimbangan terhadap masa silam yang
merosakkan :
Hilangkan Segala Tanggapan Buruk
Cuba
buang segala prasangka negatif yang bermain di fikiran anda. Mungkin
itu hanya mainan perasaan sahaja. Sebaiknya, cuba ingat kembali objektif
perkahwinan serta janji yang pernah anda meterai bersama pasangan.
Bagaimana anda berdua begitu berani membuat keputusan untuk mengakhiri
zaman bujang serta melalui suka duka kehidupan selama bertahun-tahun.
Jangan
kerana perkara yang sedikit, segala perancangan yang telah dilakukan
terganggu begitu sahaja. Sudah tentu dengan usaha yang ditunjukkan
membuatkan pasangan dapat menerima keadaan anda semula seterusnya
membina kembali masa depan bersama.
Hargai Kejujuran Pasangan
Jangan
cepat melatah sekiranya pasangan berterus-terang mengenai masa
silamnya. Sekalipun terkejut dan kecewa mendengar apa yang dikatakan
tetapi percayalah bahawa dia cukup jujur dan ikhlas pada hubungan.
Sebaiknya
cuba sembunyikan perasaan marah, sedih atau apa sahaja yang
menyakitkan. Hargailah sebaik mungkin tindakan yang dilakukan oleh
pasangan terhadap anda. Usah sekali-sekali jadikan masa silam pasangan
sebagai batu penghalang kepada kebahagiaan rumah tangga yang dibina.
Lalui
saat-saat manis anda berdua dengan ikhlas dan cubalah terima dirinya
seadanya. Paling penting, tanamkan dalam hati bahawa setiap orang tidak
sempurna, semuanya melakukan kesalahan dan dosa. Anggap sahajalah apa
yang berlaku telah ditakdirkan dan belajarlah untuk membetulkan semula
kesilapan agar rumah tangga kembali harmoni dan ceria.
Banyakkan Bersabar
Asam
garam rumah tangga, tak pernah lepas daripada dugaan yang datang
mengganggu. Sudah pasti ketika itulah bayangan sejarah hitam pasangan
‘mengapikan’ perasaan amarah di hati. Sekali gus mengeruhkan keadaan
yang pada awalnya boleh diselamatkan.
Apabila
berhadapan dengan keadaan sebegini, banyakkan bersabar dan cuba terima
pasangan seadanya dia.
Ingat kembali betapa payahnya pasangan untuk
berlaku jujur kepada anda dengan menceritakan masa silamnya. Bukan semua
orang diberi kekuatan untuk lakukan perkara tersebut. Jadi, usah
sia-siakan kejujurannya. Berfikirlah secara positif demi rumah tangga
anda.
Cerminlah Diri Sendiri
Setiap manusia tidak dilahirkan sempurna. Maka tidak mustahillah pasangan akan mengulangi kesalahan yang pernah dilakukan dahulu. Menyakitkan hati tetapi itulah yang perlu anda harungi.
Cermin
kembali diri sendiri dan nilai sikap anda. Adakah anda seorang yang
sempurna dalam semua perkara? Pasti tidak jadi cubalah memaafkan
kesilapan yang dilakukan. Cuba berkomunikasi dengan baik mengenai punca
yang membuatkan pasangan mengulangi kembali sejarah silamnya.
Pautan
tangan dan semangat yang anda berikan membuatkan pasangan makin percaya
bahawa dia tidak berseorangan malah tidak mustahil dia akan menjadi
lebih baik dari sebelumnya setelah mendapat sokongan dari anda.
Usah Terburu-buru
Jangan
cepat membuat keputusan. Kata orang ikut hati mati, ikut rasa binasa.
Sebaiknya gunakan akal yang diberikan oleh Allah Taala untuk
mempertimbangkan sebuah keputusan. Ingat, ia membabitkan masa depan
bukan masa silam.
Jangan kerana dugaan yang
sedikit maka rumah tangga anda menjadi porak peranda. Bisikkan kata-kata
azimat di telinganya agar terus kuat dan menjadi lebih
bertanggungjawab. Lagipun, semua orang lakukan kesalahan. Sedarlah
bahawa anda sedang berhadapan dengan ujian rumah tangga yang mampu
mematangkan kalian berdua. Tanganilah sebijaknya kerana setiap apa yang
berlaku tergantung di tangan anda.
Cuba Dapatkan Bantuan
Emosi
ada ketikanya sukar untuk dikawal. Lebih-lebih lagi apabila api
kemarahan menguasai diri. sekiranya anda perlukan bantuan maka silakan.
Lagipun tidak mustahil anda memerlukan seseorang di ketika itu untuk
menstabilkan semula fikiran.
Mungkin ibu,
kakak mahupun sahabat terdekat boleh menjadi perunding cara anda ketika
itu. Tetapi jika anda berasa tidak selesa untuk babitkan mereka dalam
masalah rumah tangga, seeloknya dapatkan khidmat nasihat pakar yang
benar-benar arif dalam psikologi rumah tangga. mw
No comments:
Post a Comment