23 Mac 2013
LAHAD DATU - Pencerobohan kumpulan militan dari selatan Filipina di
pesisir pantai Lahad Datu 12 Februari lepas membawa pelbagai cerita duka
kepada penduduk di kawasan itu.
Penduduk dari Kampung Tanduo, Tanjung Batu, Tanjung Labian dan Sungai
Nyamuk yang diklasifikasi sebagai zon merah terpaksa dipindahkan apabila
kumpulan penceroboh menjadikan penempatan peneroka itu sebagai kubu
mereka.
Ada antara mereka kehilangan rumah, haiwan ternakan dan hasil sawit
berikutan keganasan kumpulan penceroboh itu yang dikatakan membakar
rumah penduduk dan merampas ternakan mereka.
Namun lebih menyayat hati ada yang kematian anak kecil kerana serangan
pengganas menyukarkan pergerakan untuk keluar mendapatkan rawatan di
hospital.
Bagi lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Gabir, 38, beliau tidak
akan memaafkan kumpulan militan itu kerana tindakan mereka yang
menggugat keamanan kampungnya menyebabkan beliau kehilangan anak bongsu
yang baru berusia dua bulan.
Menceritakan peristiwa duka itu, beliau berkata anaknya meninggal dunia
di pusat pemindahan di Cenderawasih kerana kesukaran keluar mendapatkan
rawatan di klinik-klinik berdekatan ekoran serangan militan itu.
"Sampai hati mereka (pengganas) buat saya dan keluarga macam ini. Anak
bongsu saya meninggal dunia ketika dua hari berada di pusat pemindahan
kerana demam panas selain persekitaran yang tidak selesa.
"Macamana kami mahu keluar dalam keadaan yang tidak selamat. Anak saya
hanya mendapat rawatan di sini sahaja, dan akhirnya dia pergi...,"
katanya sambil menahan sebak.
Bapa kepada tiga anak itu berkata anak bongsunya dikebumikan di tanah
perkuburan Islam Cenderawasih dengan bantuan Jabatan Pertahanan Awam
Malaysia dan kementerian kesihatan.
"Saya tidak akan maafkan mereka sampai bila-bila. Mereka harus terima
hukuman berat termasuk mati kerana itulah hukuman yang paling layak
untuk mereka," katanya. - Bernama
No comments:
Post a Comment