
Cemburu
yang keterlaluan boleh membawa mudarat dalam sebuah rumah tangga tetapi
tidak dinafikan bahawa cemburu juga boleh membawa bahagia. Cemburu yang
dimaksudkan biarlah cemburu yang berpada-pada. Bukankah cemburu
tandanya sayang?
Untuk itu, tidak salah sekiranya
anda cuba untuk membentuk sikap cemburu yang positif buat suami.
Meskipun ada ketikanya berlaku perselisihan faham tetapi takkanlah
memakan masa yang panjang. Asam garam rumah tangga, sekali-sekala ada
pasang surutnya.
Dalam melayari sebuah
perkahwinan, persiapan dari aspek mental dan fizikal perlu
dititikberatkan. Panduan di bawah mungkin boleh dipraktikkan bagi
mewujudkan sebuah persekitaran yang bahagia dan menyenangkan dalam
sesebuah institusi kekeluargaan.
Berbual Boleh Hilangkan Tekanan
Sekali-sekala
ambil hati isteri dengan meluangkan masa untuk bercerita atau
bergurau-senda. Yakinlah bahawa setiap gurauan mampu mengubat lelah di
hatinya sekali gus mengeratkan kembali ikatan perkahwinan yang sedia
terbina.
Maklum sahajalah, isteri yang bergelar
suri rumah tangga sepenuh masa tentunya penat menyiapkan tugas-tugas
rutin termasuklah melayan karenah anak yang pelbagai. Sama jugalah
halnya dengan isteri-isteri yang berkerjaya. Bekerja demi meringankan
bebanan suami, jadi hargailah pengorbanan yang telah dilakukan.
Manfaatkan Masa Di Dalam Kereta
Ramai
yang menganggap, kalau hendak bergurau biarlah di rumah sahaja tetapi
sebenarnya tidak. Ketika anda berduaan dengan pasangan terutamanya di
dalam kereta, perbualan berbentuk jenaka boleh dicetuskan bagi
membangkit bahagia. Kebanyakan suami gagal memanfaatkan masa tersebut
malah selesa mendiamkan diri sepanjang perjalanan. Tidakkah ia sesuatu
yang merugikan?
Belajar Untuk Jadi Lebih Prihatin
Sentiasa
prihatin kepada kePahuan dan keperluan isteri serta anak-anak. Dalam
masa yang sama, latihlah diri untuk menjadi seorang suami dan bapa yang
peka dengan emosi dan situasi mereka.
Jangan buat
tak tahu sahaja apabila menyedari tong beras sudah ringan atau melihat
kasut sekolah anak yang koyak. Mungkin mereka sengaja tidak memberitahu
kerana ingin melihat sejauh mana prihatinnya anda pada keluarga.
Boleh Cemburu Tetapi Berpada
Jangan
tak percaya bahawa kebanyakan isteri senang apabila suaminya bersikap
cemburu. Secara tidak langsung mereka rasa diri cukup dihargai. Tetapi
usah keterlaluan kerana mungkin dari cemburu yang memupuk kasih sayang
boleh mencetus ‘kontroversi’.
Jadilah Suami Yang Pemaaf
Antara
cara yang paling mudah untuk mengikat kebahagiaan rumah tangga ialah
setiap malam, sebelum tidur, maafkanlah kesalahan yang dilakukan isteri.
Tak guna berdendam atau makan hati kerana ia hanya merosakkan diri.
Lagipun syurga isteri letaknya di bawah kaki suami. Takkanlah anda
tergamak untuk menjauhkan isteri daripada nikmat tersebut setelah banyak
pengorbanan yang dilakukan untuk anda serta anak-anaknya.
Selesaikan Masalah Dengan Cara Berhemah
Marah
adalah mainan syaitan. Sebab itulah kebanyakan suami yang marah-marah
tidak dapat berfikir dengan waras sama ada tindakan atau percakapannya
menyinggung hati dan perasaan pasangan. Jadi, tidak hairanlah sekiranya
isteri mula menanam rasa benci, memberontak dan takut apabila dirinya
dikasari. Sebenarnya, masalah boleh diselesaikan secara baik melalui
diskusi ataupun perkongsian pendapat antara kedua-duanya. Bukannya
marah-marah bagi menunjukkan betapa tingginya ego anda.
Berubah Ke Arah Yang Positif
Manusia
berubah setiap masa. Jadi bukanlah alasan sekiranya anda mengatakan
sangat susah untuk berubah. Sekiranya anda berubah terlebih dahulu
nescaya isteri akan terdorong untuk melakukan perkara yang sama. Apabila
keduanya berubah menjadi lebih positif maka tidak mustahil anak-anak
juga akan mengikut jejak langkah kedua ibu bapa mereka. Rentetan dari
itu maka tidak timbul isu salah menyalahkan kerana sebelum menuding jari
mencari kesalahan orang lain, cerminlah diri sendiri dahulu.
Jadilah Model Terbaik Untuk Keluarga
Sebagai
suami dan bapa, anda adalah contoh ikutan yang paling baik buat anak
serta isteri. Oleh itu, awasi setiap perbuatan dan percakapan agar tidak
tersasar dari landasan yang sepatutnya. Cuba bersikap tenang tatkala
diri berhadapan masalah. Dalam masa yang sama pertimbangkan setiap
keputusan dengan cara yang paling bijaksana. Berdoalah kepada Yang Maha
Kuasa agar setiap perbuatan anda menjadi ikutan yang baik dan
dibanggakan oleh semua ahli keluarga.
Bijak Atasi Tekanan Hidup
Manusia
dan tekanan cukup sinonim lagipun mana ada hidup yang tidak diduga
dengan masalah. Oleh itulah kita harus bijak mengatasinya menggunakan
akal yang telah diberikan oleh Sang Pencipta. Cara yang paling baik
adalah dengan melakukan riadah atau mengambil diet makanan yang
seimbang. Cuba berhenti daripada merokok dan bercampurlah dengan
individu-individu yang positif pemikirannya. Dalam masa yang sama
banyakkan berdoa kepada-Nya agar bebanan masalah dikurangkan seterusnya
dipermudahkan segala urusan. mw
No comments:
Post a Comment