
ANGGOTA polis dan ahli keluarga
seorang lelaki yang dilaporkan hilang melihat kereta yang terbakar di
tepi ladang kelapa sawit berdekatan Alam Impian, Seksyen 25, Shah Alam
kelmarin.
SHAH ALAM – Sebuah kereta Proton Waja yang hangus terbakar mencetuskan misteri apabila polis menemui beberapa serpihan tulang di dalam kenderaan itu di tepi ladang kelapa sawit berdekatan Alam Impian, Seksyen 25 di sini kelmarin.
Laporan mengenai penemuan kereta yang terbakar itu diterima daripada orang awam pada pukul 2 pagi.
Bagaimanapun, sehingga petang semalam, polis belum mengetahui sama ada tulang yang dijumpai di dalam kenderaan itu merupakan milik manusia atau tulang haiwan.
Difahamkan, polis sedang menyiasat kaitan penemuan kereta tersebut dengan kes kehilangan seorang juruteknik berusia 36 tahun dari Bandar Putra Klang dekat sini pada Khamis lalu.


