KLANG - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menziarah
keluarga Koperal Mohd Azrul Tukiran, yang terkorban dalam insiden
tembak-menembak di Kampung Seri Jaya, Simunul, Semporna, Sabah pada 2
Mac lepas, di Kampung Rantau Panjang di sini.
Najib, ditemani isteri Datin Seri Rosmah Mansor, turut menyampaikan
bantuan berjumlah RM20,000 sumbangan Yayasan Kelana Ehsan kepada
keluarga Allahyarham.
Beliau dan isteri kemudian menghadiri Perhimpunan Barisan Nasional (BN)
Pilihan Rakyat di Padang SMK Meru, kira-kira 25 kilometer dari kampung
itu.
Sementara itu, bapa Mohd Azrul, Tukiran Ahamad berkata Perdana Menteri
menasihatkan mereka sekeluarga supaya bersabar kerana perkara yang
berlaku tidak diduga dan memberi jaminan akan memberikan segala bantuan
yang dijanjikan.
Tukiran, yang melahirkan rasa terharu dan terima kasihnya atas kesudian
Perdana Menteri berkunjung ke rumah mereka, turut berkata Najib juga
bertanya berkaitan arwah dalam kunjunan singkat itu.
Sementara itu, ibu Mohd Azrul, Sa'diah Md Amin berkata mereka
sekeluarga reda dengan apa yang berlaku dan tidak akan menghalang jika
ada anak dan cucunya yang berhasrat menyertai pasukan keselamatan.
Ini adalah kali kedua ibu bapa Mohd Azrul bertemu Perdana Menteri,
pertama kali semasa menyambut ketibaan jenazah Allahyarham di Pangakalan
Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang pada 4 Mac lepas.
Mohd Azrul dari Pasukan Gerakan Am (PGA) Tawau adalah antara enam
pegawai dan anggota polis yang terkorban dalam serangan hendap
sekumpulan pengganas bersenjata di perkampungan air itu pada 8 malam 2
Mac lepas.
Sementara itu, penduduk kampung menamakan jalan masuk ke rumah keluarga
Allahyarham sebagai 'Jalan Wira Negara Koperal Azrul'. - Bernama
No comments:
Post a Comment