MUAR - Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyidin Yassin hari ini
mengingatkan rakyat bahawa keamanan dan keadaan selamat yang dikecapi
negara kini bukan jaminan ia akan berterusan, kerana musuh dari luar
akan cuba merosakkan negara.
Katanya pihak terbabit cemburu dan tidak senang dengan kemakmuran yang
sedang dikecapi kini, lebih-lebih lagi Malaysia dikategorikan negara
paling selamat oleh Indek Keamanan Global (GPI).
"Malaysia antara negara yang paling selamat dan ini diiktiraf oleh GPI
yang mmembuat penilaian tentang soal itu, malah kita berada di antara 20
negara paling selamat mengatasi Singapura.
"Hal di Lahad Datu memaksa kita hantar polis dan lima batalion tentera
untuk menjaga keamanan di sana," katanya ketika berucap di majlis
'Bersatu Benteras Jenayah' Peringkat Daerah Muar di Dewan Bola Keranjang
Bakri di sini hari ini.
Turut hadir isteri beliau Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, Timbalan
Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Tan Sri Lee Lam
Thye, Pengerusi Urus Setia Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Datuk
Ayub Yaacob dan Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata penghantaran pasukan keselamatan
yang ramai ke Lahad Datu ialah untuk memastikan kestabilan keamanan di
negara ini sentiasa dipelihara dan tidak menjejaskan kemasukan pelabur.
"Kita tak nak orang kata Malaysia tidak aman sehingga menjejaskan
pelabur yang datang di negara ini. Kita nak pastikan negara aman dan
tiada masalah," katanya.
Majlis anjuran Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan MCPF itu dihadiri lebih 1,000 penduduk dari kawasan Bakri.
Muhyiddin yang juga Anggota Parlimen Pagoh berkata kerajaan Barisan
Nasional bertanggungjawab dan sentiasa komited menjaga keamanan negara.
Pada masa sama beliau turut menyeru supaya rakyat di Lahad Datu memberi
sokongan kepada pasukan keselamatan dengan membantu menyalurkan
maklumat.
"Ketua kampung mesti kerjasama bagi maklumat, jangan kerjasama dengan
musuh dengan beri mereka guna masjid atau rumah kita," katanya. -
Bernama
No comments:
Post a Comment