Khuatir ada dalang biayai pengganas Ahmad Zahid beramah mesra dengan warga Tentera Darat Rejimen Ketiga Artileri Diraja Kem Kamunting pada lawatan kerja di kem berkenaan, semalam. - Foto Supian Ahmad
Langkawi: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mempersoalkan kemampuan Jamalul Kiram membiayai pasukan pengganasnya, sedangkan dia sendiri perlu menjalani rawatan dialisis dan terpaksa bergantung kepada bantuan kewangan dari kerajaan Filipina untuk kelangsungan hidup.

“Dia (Jamalul Kiram) tidak berkemampuan. Bagaimana senjata baru boleh dibeli dan pembiayaan dibuat terhadap penceroboh.
“Kita khuatir ada dalang yang menjadi pihak ketiga sama ada dari Malaysia atau Filipina mendukung pencerobohan itu dan jika bukti ini diperoleh, kita tidak akan berkompromi,” katanya pada Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2013 (LIMA 13), di sini, malam kelmarin.


Pada majlis itu, beliau turut menyaksikan penyerahan cek RM10,000 daripada Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) kepada Tabung Wira Lahad Datu anjuran Media Prima Berhad.

Bukti hubungan baik

Mengenai penahanan 35 pengganas Sulu yang cuba keluar dari Sabah berhampiran Pulau Tawi-Tawi oleh pihak berkuasa Filipina, Ahmad Zahid berkata, ia membuktikan hubungan baik, selain keakraban antara kerajaan Malaysia dan Filipina.

“Penahanan itu sudah dimaklumkan kepada kita oleh Filipina termasuk hasrat kerajaan negara itu untuk mendakwa semua penceroboh terbabit di Filipina dalam tempoh terdekat dan kita masih menunggu laporan penuh mengenainya,” katanya. bh