♥ ♥ ♥ SELAMAT DATANG KE BLOG SAYA ~ BIDADARI SUTERA ~ BS ♥ ♥ ♥ MAAF ANDAI ADA SALAH DAN SILAP ♥ ♥ ♥ SELAMAT TINGGAL ♥ ♥ ♥ TERIMA KASIH ♥ ♥ ♥

Pages

Friday, March 22, 2013

Keluar daripada hidup penuh noda

Saya berusia 24 tahun. Seperti wanita lain yang mempunyai perasaan cinta. Dipendekkan cerita, saya pernah berkawan dengan A seawal usia 18 tahun, tetapi kami leka dengan duniawi dan lupa fitrah naluri yang ada di dalam hati masing-masing.

Cinta kami sering ditabur dengan dosa semata-mata. Akhirnya saya sedar, hubungan kami cuma bertahan selama dua tahun dan saya sendiri memutuskan hubungan kerana tidak sanggup bergelumang dengan dosa.


Saya kemudian melanjutkan pelajaran dan memutuskan untuk berkawan dengan B pula. Malangnya saya dan pasangan sekali lagi terjebak dalam kes sama. Kami bersama selama tiga tahun dan sepanjang tempoh itu dosa makin menimbun.

Pada waktu sama, ketika saya buntu dan meminta pertolongan daripada Yang Maha Esa, seolah-olah ada jawapan dan petunjuk daripada Dia.

Dengan kebesaran-Nya, Dia temukan saya dengan C yang menarik perhatian saya termasuk latar belakang dan keluarganya.

Saya memutuskan hubungan dengan B dengan harapan jejaka C ini boleh membimbing saya ke jalan diredai Ilahi. Pada awal perkenalan memang kami menjaga batas, bahkan saya juga turut menjaga aurat sepanjang berada di rumah kelurga C.

Malah, pada awalnya saya berasa bahagia kerana berpendapat inilah kebahagiaan yang saya inginkan.

Bagaimanapun, rupanya saya dan dia tetap manusia yang mempunyai kekurangan serta kelemahan.

Kami termakan pujuk rayu syaitan. Kami bergelumang dengan dosa. Berulang kali saya cuba melupakan dosa itu.

Malah, saya tekad untuk bertaubat dan berdoa semoga Dia memberi saya peluang untuk perbetulkan segala kesalahan masa lalu. Saya masih berhubung dengan C dan saling teringat dosa lampau.

Pada saat ini jugalah, Tuhan menguji saya sekali lagi dengan mendatangkan seorang jejaka D iaitu seorang pensyarah sewaktu saya belajar dahulu dan berusia 25 tahun.

Cuma baru kini D meluahkan perasaan terhadap saya, sedangkan dia sudah hampir tiga tahun memendam perasaan terhadap saya. Dia menyatakan hasrat untuk menjadikan saya isterinya.

Saya sendiri buntu dan terkejut mendengar luahannya dan dia sedaya upaya mahu masuk merisik serta meminang.

Kini saya jadi keliru dalam memilih ‘cinta jadian’ C dan juga kasih D yang setia menanti. Saya hanya mampu berharap agar ada hikmah pada hari mendatang. Bantulah saya yang dalam keadaan tidak tenteram ini.

Qaisara,
Kuala Lumpur



Antara akibat perlakuan dosa ialah jiwa menjadi tidak tenteram dan gelisah. Ini kerana setiap jiwa sentiasa ingin mendekatkan diri kepada Allah sebagai Pencipta.

Sebenarnya setiap jiwa yang ada pada manusia sudah mengakui keesaan Allah. Ini jelas apabila Allah berfirman maksudnya:

“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak Adam daripada (tulang) belakang mereka dan Dia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (firman-Nya): Bukankah Aku Tuhan kamu? Mereka menjawab: Benar, kami menjadi saksi. Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: Sesungguhnya kami orang yang lalai mengenai (hakikat tauhid) ini.” (Surah al-A‘raf, ayat 172)

Melakukan dosa terutama dosa besar seperti zina, minum arak dan membunuh mengotorkan jiwa seseorang. Dengan sebab itu, setiap orang Islam hendaklah menjauhi daripada segala larangan Allah.

Islam juga memperuntukkan hukum tertentu bagi mereka yang melanggar larangan berkenaan. Contohnya melakukan zina boleh dihukum sebat 100 kali rotan (lihat surah an-Nur, ayat 2).

Seterusnya setiap Muslim juga perlu berusaha seboleh yang mungkin melakukan setiap suruhan Allah. Semuanya akan melahirkan pengabdian sepenuhnya kepada Allah.

Sememangnya perasaan cinta adalah sebahagian daripada diri manusia. Islam mengarahkan perasaan cinta yang ada pada manusia sebaik mungkin dengan menggalakkan perkahwinan dan pembinaan rumah tangga.

Jika perasaan cinta itu tidak dikawal, ia boleh mengarah kepada perlakuan seks yang bebas.

Seks bebas iaitu zina termasuk perbuatan keji serta membawa kepada penyakit sosial dan perbalahan sesama manusia.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan keji dan jalan yang jahat.” (Surah al-Isra, ayat 32)

Tidak ada cara lain bagi anda selain kembali kepada jalan Allah iaitu bertaubat kepada-Nya dan berazam sepenuhnya untuk tidak mengulangi perbuatan dosa seperti yang pernah anda lalui itu.

Seterusnya, anda tidak boleh lagi melengah-lengahkan perkahwinan dan perlu bertegas kepada mana-mana teman lelaki supaya terus membuat keputusan mengambil anda sebagai isteri.

Itu adalah jalan penyelesaian dan jangan dibiarkan mereka mempergunakan anda untuk kepuasan nafsu semata-mata.

Begitu juga dengan anda supaya tidak lagi menuruti hawa nafsu dalam pergaulan dengan mana-mana lelaki, seperti duduk berdua-duaan dengan mereka kerana ia akan menjurus kepada perzinaan dan ia perlu dielakkan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/22

No comments: