JOHOR BAHRU — Seorang pengamal perubatan tradisional mati manakala
teman wanitanya cedera parah dalam satu kejadian tembak di rumahnya di
Jalan Permas 12/10, Bandar Baru Permas Jaya di sini semalam.
Pengamal perubatan itu, Ang Keng, 40, ditembak di tingkat bawah
manakala teman wanitanya Sureen Toh, 30, ditembak di sebuah bilik di
tingkat atas rumah teres dua tingkat itu.
"Kita menerima panggilan pada 5.15 petang daripada Sureen yang mengatakan dia dan pasangannya telah ditembak.
"Pasukan kita tiba bersama sebuah ambulans, bagaimanapun Ang Keng
didapati telah meninggal dunia manakala Sureen cedera di badan,” kata
Ketua Polis Daerah Johor Baharu Selatan, ACP Zainuddin Yaacob ketika
ditemui di tempat kejadian.
Zainuddin berkata Ang Keng didapati ditembak di kepala dan badan
manakala Sureen ditembak di badannya namun tidak dapat memberikan jumlah
tembakan yang dilepaskan dalam kejadian itu.
Pihak unit forensik polis tidak menemui sebarang tanda pecah masuk ke
rumah itu dan Zainuddin tidak menolak bahawa mangsa mengenali penyerang
yang mungkin lebih daripada seorang.
Pihaknya juga masih belum tahu motif serangan kerana tiada barangan
berharga yang hilang daripada rumah tersebut dan polis juga akan
menyiasat rakaman kamera litar tertutup yang dipasang di rumah mangsa.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Sureen dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Aminah.
Zainuddin juga menyeru agar orang awam tidak membuat panggilan ke
talian 999 bagi kecemasan seperti itu sebaliknya menghubungi talian
hotline 07-2212999 untuk tindakan lebih cepat daripada polis.
— BERNAMA
No comments:
Post a Comment