♥ ♥ ♥ SELAMAT DATANG KE BLOG SAYA ~ BIDADARI SUTERA ~ BS ♥ ♥ ♥ MAAF ANDAI ADA SALAH DAN SILAP ♥ ♥ ♥ SELAMAT TINGGAL ♥ ♥ ♥ TERIMA KASIH ♥ ♥ ♥

Pages

Wednesday, October 24, 2012

Perginya Raja Filem Cinta

Susunan Nor Akmar Samudin
akmar@hmetro.com.my

PASTI peminat filem Hindi sukar melupakan kehebatan filem cinta, Dil To Pagal Hai yang menampilkan lakonan hebat Datuk Shah Rukh Khan, Madhuri Dixit dan Karisma Kapoor. Filem itu diterbitkan pada awal 1990-an oleh produser dan penerbit lebih dikenali sebagai Raja Filem Cinta, Yash Rash Chopra.

Bagaimanapun, malam Ahad lalu, peminat filem Hindi menerima khabar yang Yash sudah pergi buat selamanya dengan meninggalkan khazanah filemnya yang sangat berharga. Dia menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Lilavati, Mumbai, selepas seminggu diserang demam denggi serta tidak memberikan tindak balas terhadap rawatan diberikan.


Dia dimasukkan ke hospital itu pada 13 Oktober lalu untuk mendapatkan rawatan demam denggi, tetapi kerana usianya yang sudah lanjut, demam itu dengan cepat memberi kesan kepada organnya yang lain apabila ia tidak dapat berfungsi.

Upacara pembakaran mayatnya dikatakan berlangsung kelmarin.


Sebelum pergi meninggalkan keluarga dan pencinta karyanya buat selama-lamanya, Yash sempat meraikan hari jadinya yang ke-80 tahun dan juga menghadiri majlis hari jadi bintang filem legenda, Amitabh Bachchan ke-70.


Dengan pemergiannya itu, dia tidak sempat untuk menyaksikan pelancaran filem terbaru terbitan syarikatnya yang berjudul Jab Tak Hai Jaan.


Selama 53 tahun menjadi pengarah bebas, karyanya sangat istimewa dan sukar ditandingi pengarah lain. Yash adalah pengarah filem cinta yang dapat merasai segenap ruang rasa cinta dan kasih sayang sesama manusia.

Sedikit latar Yash, dia dilahirkan sebagai anak bongsu daripada lapan beradik di Lahore, India. Meningkat dewasa, dia mengikuti abang sulungnya, Baldev Raj (B R) Chopra ke Mumbai. Berbekalkan pengalaman bekerja dengan abangnya itu, dia mengorak langkah mengarah filemnya sendiri yang berjudul Dhool Ka Phool (1959) dan menjadi ‘super hit’.

Berikutan kehebatan sentuhannya, dia satu-satunya pengarah filem yang berjaya mengutip tiket pecah panggung selama lima dekad. Selepas mengarah beberapa filem, dia menubuhkan Yash Raj Films (YRF). Antara filem arahannya yang menyentuh hati ialah Waqt, Ittefaq, Daag, Deewaar, Kabhi Kabhie, Trishul, Chandni, Darr dan Veer-Zaara.

YRF juga berjaya melahirkan ramai pengarah baru termasuklah anaknya sendiri, Aditya Chopra diikuti oleh Kabir Khan dan Sanjay Gadhvi. Yash pernah memenangi anugerah antarabangsa sebagai menghargai jasanya selaku pembikin filem dan sumbangannya dalam sektor pelancongan terutama kepada negara Switzerland yang menjadi lokasi penggambaran kegemarannya. Yash kini tinggal dalam kenangan isterinya, Pamela Chopra dan dua anaknya, Aditya dan Uday.

Antara artis yang terawal menziarahi mayatnya di hospital ialah Shah Rukh Khan, Anil Kapoor, Karan Johar, Madhur Bhandarkar, Dilip Kumar dan Saira Banu.

Mayatnya dibawa balik ke banglo sebelum diletakkan di YRF untuk dilawati keluarga, rakan penggiat seni dan peminat buat kali terakhir. Aktor dan aktres yang kelihatan memberikan penghormatan terakhir, Madhuri Dixit, Lata Mangeshkar dan Mahesh Bhatt.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/2

No comments: