KUALA LUMPUR 17 Dis. - Polis Diraja Malaysia
(PDRM) sedang memantau laman sosial yang dipercayai merekrut rakyat
Malaysia, Mohd. Noor Fikrie Abd. Kahar untuk menjadi anggota kumpulan
militan Jemaah Islamiah (JI).
Pengarah Petugas Khas (Operasi dan Counter Terrorism), Ibu Pejabat
Polis Bukit Aman, Datuk Mohamad Fuzi Harun berkata, pihaknya masih
menyiasat sejauh mana penglibatan pengikut laman sosial berkenaan dengan
JI.
"PDRM bekerjasama dengan agensi-agensi berkenaan dalam mengekang aktiviti militan menggunakan teknologi internet.
"Fokus siasatan ialah siapa lagi yang direkrut seperti Mohd. Noor
Fikrie menerusi laman sosial berkenaan, rangkaian lain yang dihubungkan,
sejauh mana ia memberi kesan sehingga mengubah ideologi dan pegangan
seseorang serta siapa pengendali laman sosial berkenaan," katanya ketika
dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Dalam temu bual eksklusif Utusan Malaysia semalam, bapa
anggota militan itu, Abd. Kahar Sirun, 53, mendakwa anaknya dipergunakan
JI sehingga sanggup mati dengan cara salah.
Mohd. Noor Fikrie, 26, dikesan bertukar ekstrem dengan perjuangan
kumpulan itu selepas kecewa dalam perkahwinannya dengan seorang gadis
tempatan yang berakhir perceraian dua tahun lalu, sebelum terpengaruh
dengan laman sosial berunsur jihad militan.