Samad Said, Maria Chin setuju hadir ke IPD hari ini
Empat lagi peserta Himpunan Janji Demokrasi yang memijak gambar pemimpin negara dan mengibarkan bendera “baru” pada perhimpunan di Dataran Merdeka, 30 Ogos lalu ditahan, semalam.
Ong Sing Yee, 19, ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan, jam 12 tengah hari; Lim Kian Peng, 20, ditahan di Balai Polis Taman Pelangi Indah jam 5 petang dan penuntut sebuah kolej di Kuala Kubu Baru, Nur Adnin Abdul Razak, 19, ditahan jam 1 petang di IPD Dang Wangi, di sini.
Kibar bendera 'baru'
Sing Yee, seorang model sambilan dan Kian Peng, juruteknik ditahan berikutan tindakan mereka memijak gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak manakala Nur Adnin ditahan kerana mengibarkan bendera “baru”.
Empat remaja itu ditahan bagi membantu kes yang disiasat mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Hasutan serta, Seksyen 290 dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana perbuatan mengaibkan.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Aziz Zakaria, berkata dengan penahanan empat individu itu serta seorang penuntut kolej di Cheras kelmarin, pihaknya kini masih mengesan tiga lagi individu yang gambarnya disiarkan polis baru-baru ini.
Katanya, polis juga sudah menghantar notis 111 Kanun Acara Jenayah kepada lima individu yang dipercayai bertanggungjawab menganjurkan perhimpunan itu iaitu Maria Chin Abdullah, Datuk A Samad Said, Mat Sabu, Hishamuddin Rais dan Tian Chua, semalam, untuk membantu siasatan.
Setuju beri keterangan
“Sehingga kini hanya Samad Said dan Maria Chin bersetuju untuk hadir ke IPD Dang Wangi esok (hari ini) untuk membantu siasatan manakala tiga lagi individu masih belum memberikan sebarang jawapan.
“Jika mereka gagal berbuat demikian, kita tidak teragak-agak mengambil tindakan menahan mereka,” katanya.
Aziz meminta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berhubung semua individu berkenaan tampil memaklumkan kepada polis.
Katanya, setakat ini, 179 laporan polis dibuat di seluruh negara berhubung insiden pada malam Ambang Merdeka di Dataran Merdeka itu.
Malam kelmarin, pelajar kolej swasta yang ditahan bagi membantu siasatan kes tunjuk punggung pada gambar pemimpin negara dilepaskan dengan jaminan polis.
Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, berkata pelajar terbabit, Muhammad Ammar Abdul Rahman, 19, dilepaskan pada jam 10 malam semalam selepas polis selesai merekod keterangannya.
Sementara itu, Ketua Eksekutif Kolej Teknologi Antarabangsa Cybernatics, Prof Dr Nazaruddin Mohamed Jali, berkata pihaknya mengambil tindakan buang kolej terhadap Muhammad Ammar yang mengakui melakukan perbuatan itu.
Katanya, tindakan terhadap pelajar tahun tiga program Diploma Multimedia Kreatif itu diputuskan sebaik dia ditahan polis kelmarin sejajar prinsip institusi pengajian tinggi itu yang memandang serius tindakan ganas dan biadap.
“Kita mengambil tindakan berdasarkan pengakuan bertulis pelajar terbabit dan memutuskan untuk menamatkan pengajiannya,” katanya di sini, semalam.
No comments:
Post a Comment