Sakit belakang sebenarnya bukanlah sesuatu yang luar
biasa. Dari segi perubatan, sakit belakang diertikan apabila seseorang
berasa sakit atau tidak selesa pada bahagian bawah dada dan di sekitar
bahagian pinggang. Boleh dikatakan hampir setiap individu mengalaminya
tanpa mengenal faktor jantina mahupun usia.
Penyakit
ini merupakan yang kedua paling kerap menyerang manusia selepas
penyakit selesema, hingga menyebabkan hampir tiada seorang pun
terkecuali daripada menderita kerananya. Namun aktiviti berat yang
banyak dilakukan oleh lelaki menyebabkan golongan ini dikatakan lebih
kerap menghadapi masalah ini berbanding wanita.
Perlu
diketahui pada bahagian belakang tubuh manusia, tulang terbahagi kepada
tiga bahagian iaitu toraks, lumbar dan sacrum. Pada bahagian lumbar
inilah terdapatnya lima tulang dan antara tulang-tulang ini terdapat
kusyen atau ''disk'' yang mempunyai fungsi antara tulang dan sendi.
Setiap
tulang belakang mempunyai empat sendi dan di pertengahannya terdapat
saraf besar (spinal cord). Saraf besar ini berfungsi untuk membawa saraf
kecil ke kaki, pada bahagian belakang tepi tulang belakang terdapat
lubang untuk saraf kecil terus pergi ke kaki. Dianggarkan 90 peratus
sakit belakang berpunca daripada sakit urat dan otot-otot.
Punca
Punca yang paling kerap berlaku menyebabkan seseorang mengalami masalah sakit belakang ialah :
Slipped disc atau prolapsed disc
Keadaan ini mengakibatkan sedikit kusyen antara tulang-tulang terkeluar dari tempatnya. Apabila ia terkeluar, ia akan menekan saraf. Saraf yang tertekan menimbulkan rasa sakit dan kebas. Keadaan ini diumpamakan seperti sarung kusyen terkoyak dan menyebabkan isinya terkeluar. Ia lazimnya berlaku di kalangan individu yang berusia antara 20 hingga 40 tahun.