Setiap
insan pasti ada kisah silamnya. Sama ada pahit atau manis, ia adalah
sejarah yang tak mungkin hilang daripada ingatan dengan mudah. Bagi
pasangan yang telah mendirikan rumah tangga, tidak mustahil suami
mahupun isteri pernah terlibat dengan masa silam yang menyakitkan.
Mungkin
menjalin hubungan terlarang, berada di bawah pengaruh dadah, kaki
botol, penjenayah dan macam-macam lagi malah lebih teruk terpaksa
melalui hukuman penjara di atas kesalahan yang telah dilakukan.
Sudah
tentu ia sukar untuk dilupakan malah tidak mustahil boleh memberi kesan
yang negatif dan mengecewakan terutamanya dari sudut psikologi.
Rentetan itu, anda mudah berkira sendiri. Membuat andaian bahawa cinta
dan sayang pasangan sudah hilang sedangkan yang berlaku sebaliknya.
Mudah sensitif tidak bertempat malah keyakinan diri juga semakin
berkurangan.
Cara Untuk Melupakan
Sedarkah
anda, sekiranya masalah ini berlarutan tidak mustahil rumah tangga anda
mudah berantakan. Lebih-lebih lagi jika anda seorang suami yang menjadi
tunjang utama sesebuah keluarga. Berikut adalah beberapa tip yang boleh
dipraktikkan bagi menghentikan kebimbangan terhadap masa silam yang
merosakkan :
Hilangkan Segala Tanggapan Buruk
Cuba
buang segala prasangka negatif yang bermain di fikiran anda. Mungkin
itu hanya mainan perasaan sahaja. Sebaiknya, cuba ingat kembali objektif
perkahwinan serta janji yang pernah anda meterai bersama pasangan.
Bagaimana anda berdua begitu berani membuat keputusan untuk mengakhiri
zaman bujang serta melalui suka duka kehidupan selama bertahun-tahun.