Seram! Misteri Nenek Kebayan Di Gunung
Ledang | Sebut sahaja Gunung Ledang, sudah pasti tergambar betapa
cantiknya kawasan di situ yang kaya dengan spesis tumbuhan. Kawasan ini
juga dikaitkan dengan lagenda Puteri Gunung Ledang. Namun begitu
myberita bukan mahu bercerita tentang si puteri ini, akan tetapi tentang
pengalaman seorang lelaki yang mengikuti ekspedisi mendaki Gunung
Ledang. Lelaki ini telah terserempak dengan seorang Nenek Kebayan pada
waktu senja. Sejak daripada itu, dirinya sering meracau tidak tentu
hala. Mengapa ini terjadi?
Kisahnya lebih kurang pada tahun 1993
atau 1994 saya kurang pasti, ada seorang pemuda ni pelajar universiti di
johor ada membuat aktiviti luar bersama siswa-siswa universiti tersebut
untuk menjelajah gunung ledang dan berkhemah di sana untuk bermalam.
Tiba pada masa yang dijanjikan untuk
jungle trekking seperti biasalah mereka berangkat ke sana dan
masing-masing ada partner untuk melakukan sebarang aktiviti di gunung
ledang. Setiba si pemuda ni di sana mestilah dia rasa gembira, teruja
melihat keindahan gunung ledang yang semula jadi cantik berbanding
gunung-gunung lain di malaysia. Gunung ledang juga antara gunung yang
menjadi no. 1 yang kaya dengan lagenda yang tersendiri sejak dari dahulu
kala.
Baik, kita berbalik pada cerita si
pemuda tadi. Hampir sehari suntuk dia dan teman-teman yang lain
menjelajah hutan, mendaki gunung melalui sungai, memasak makanan
sendiri, games misi mencari harta karun dan sebagainya. Hari semakin
senja, matahari semakin terbenam dan benar-benar senja. Semasa si pemuda
dan teman-teman yang lain menyusuri hutan dan semak-samun, mata si
pemuda seimbas lalu terlihat seorang nenek kebayan tidak jauh dari
kumpulan mereka. Tidak silap saya kata si pemuda ni dia nampak susuk
tubuh nenek kebayan itu dari belakang. Mujur juga tidak nampak dari
depan entah bagaimana rupa dia.
Sebaik sahaja si pemuda melihat nenek
kebayan yang berjalan pergi ke semak-semak itu, terlintas di dalam hati
“apa orang tua tu buat senja-senja ni?” Tidak lama kemudian si pemuda
sudah tidak nampak kelibat nenek kebayan itu lagi. Setelah tamat
perkhemahan mereka selama 2 hari keesokan harinya kumpulan si pemuda
bersama teman-temannya berangkat ke kampus untuk kuliah seperti biasa.
Pada malam itu juga sesuatu yang aneh berlaku pada si pemuda itu.
Kawan-kawan sebiliknya merasa pelik dengan kelakuan si pemuda yang
mengurungkan diri di dalam bilik dan tidak mahu bercampur orang. Hanya
diam dan termenung sahaja di dalam bilik tanpa sebab. Semakin lama kawan
sebilik si pemuda itu merasa tingkah laku si pemuda itu berlainan.
Macam kebingungan dan terpinga-pinga. Malam semakin larut dan si pemuda
masih tidak tidur lagi.
Tidak lama kemudian lebih kurang jam 3
pagi, terdengar bunyi cermin berderai. Kawan-kawan di bilik dan jiran
mereka turut terkejut mendengar bunyi benda pecah. Sebaik bangun kawan
sebilik si pemuda melihat si pemuda ini telah memecahkan
kepingan-kepingan kaca tingkap di bilik mereka. Si pemuda dengan tidak
sedarkan diri seperti dirasuk meronta-ronta ingin terjun tingkap. Segera
mereka menahan si pemuda dari terus terjun tingkap dan mengamuk.
Istilah sekarang dipanggil histeria, begitulah yang di alami si pemuda.
Segera kawan sebiliknya memanggil warden asrama dan memanggil pensyarah
yang arif dalam bidang histeria untuk membantu si pemuda yang tidak
sedarkan diri itu. Setelah ustaz atau pensyarah yang berkaitan datang
dan meredakan si pemuda dari kerasukan, kelihatan si pemuda ini perlu
diubati atau dicutikan untuk pulang berubat.
Apa yang diperhatikan benda yang merasuk
di dalam tubuh si pemuda gagal dikeluarkan dan amat ganas. Hanya mampu
ditundukkan buat sementara waktu sahaja. Tidak lama kemudian pihak
universiti menghubungi keluarga si pemuda dan meminta mereka menjemput
anak mereka pulang untuk diubati baru meneruskan pengajian seperti
biasa. Diringkaskan cerita sebaik sahaja pulang di rumah perkara sama
diulangi oleh si pemuda. Dia seakan-akan dirasuk oleh sesuatu yang
membuatkan dirinya melakukan kekecohan. Habis tingkap di rumah
keluarganya dipecahkan satu persatu. Tingkap dapur dan tidak lama
selepas itu tingkap di bilik air. Kemudian menjerit-jerit meminta
tolong.
Apa yang anehnya tangan yang digunakan
untuk pecahkan kaca-kaca tingkap tidak luka dan berdarah. Memang sesuatu
yang jika difikirkan dengan fikiran waras hakikatnya mesti berdarah dan
cedera. Seperti kebal pula langsung tidak luka malah si pemuda tidak
merasa sakit. Mungkin begitulah yang akan terjadi setelah ada makhluk
lain di dalam badan manusia. Bila melihat situasi yang serius ini, ayah
si pemuda segera memasung anaknya yang kerasukan itu dengan tali dan
ikat tangan dan kakinya. Kasihan sungguh melihat apa yang berlaku. Tiada
ibu atau ayah yang ingin menyakiti anak sendiri tapi dalam kes ini
terpaksa diikat dulu untuk keselamatan semua pihak.
Ayah dan ibu si pemuda mencari jalan
keluar untuk memulihkan anak mereka. Setelah mereka mendapat tahu ada
seorang tukang ubat yang boleh mengubati anaknya segera mereka bawa.
Malangnya tidak berjaya malah semakin mengganas reaksi si pemuda
seolah-olah tidak takut diubatkan. Begitulah kesnya ramai juga yang cuba
ubatkan tapi gagal. Yang terakhir setelah melalui jalan buntu, ibu dan
ayah pemuda mendengar khabar ada seorang kiyai yang boleh mengubati
penyakit-penyakit ganjil yang pelik. Setelah dibawa berubat
Alhamdulillah menampakkan kesan positif dan sifat si pemuda yang sering
mengganas bertukar sedikit demi sedikit lembut dan tidak berkasar. Cuma
kelakuannya masih keanak-anakan dan separuh sedar.
Setahu saya sepanjang keluarganya
menjaga si pemuda ini, ianya berlaku di bulan yang berkat iaitu ramadhan
bulan umat islam berpuasa. Kejadian itu berlarutan sehingga syawal
sambil mendengar takbir raya. Cukup sedih dan syahdu mana tidaknya semua
menyambut raya dengan gembira tapi mereka dalam keadaan berduka dengan
anak yang masih separuh pulih. Ada yang menyarankan untuk di bawa ke
hospital orang sakit jiwa sahaja kerana sudah tidak boleh dikawal lagi.
Orang sekeliling memandangnya seperti orang gila.
Siang hari berjalan
kaki seorang pergi ke kedai dengan tidak memakai baju dan hanya
berseluar pendek. Jalan tidak menoleh ke kiri dan ke kanan dan tidak
hiraukan orang yang hon kereta dengar cerita. Nasib tidak berlaku
kemalangan.
Di ringkaskan lagi cerita ini, si pemuda
yang sakit dirasuk oleh sesuatu yang tidak tahu dari mana puncanya
pulih setelah menjalani susulan perubatan dengan kiyai yang
mengubatinya. Si pemuda tidak lama itu menghabiskan pengajiannya dan
tamat mendapat ijazah sarjana muda. Syukur pada Allah masa depannya
cerah dan berjaya menjadi pegawai kerajaan yang disegani dan dihormati.
Siapa sangka dahulu jika dilihat akan mengatakan dia orang gila dan
patut berada di hospital gila atau tanjung rambutan sekarang telah
menjadi orang yang berjawatan tinggi. Ini semua berkat kesabaran ibu dan
ayah serta keluarga yang membantu memulihkan anaknya.
Jika ikut kajian juga setahu saya,
peratusan orang gila yang jika diperdengarkan selalu dengan ayat suci
Al-quran akan pulih dari sakitnya. Berbalik pada tajuk kita misteri
nenek kebayan gunung ledang tadi.
Sehingga sekarang masih tidak dapat
dirungkaikan apa kaitan nenek kebayan yang dilihat di gunung ledang
dengan si pemuda itu. Yang pasti selepas kejadian melihat nenek kebayan
itu telah berlaku perkara misteri dalam hidup si pemuda. Adakah nenek
itu sejenis jin ifrit yang merasuk atau jin baik? Hanya Allah sahaja
yang tahu. Apa yang saya dengar jin islam memang tidak boleh merasuk
tubuh manusia kerana itulah perjanjiannya. myberita
No comments:
Post a Comment